Followers

Saturday, 4 August 2012

TIDAK WAJIB MENJAWAB SALAM?


Bissmillahirahmanirahim...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Salam Ramadhan. Nukilan pada kali ini hanyalah sekadar ingin berkongsi sesuatu dengan para pembaca. Insya-Allah. Sehingga hari ini, kita semua telah sedia maklum, ulama telah bersepakat mengatakan bahawa memberi salam itu adalah sunat dan menjawab salam adalah wajib. Jika tidak menjawabnya berdosa. Wallahu’alam.

Di sini, saya ingin berkongsi sesuatu di mana ada salam yang tidak wajib untuk kita menjawabnya. Dari apa yang saya pelajari, ada 4 jenis salam yang tidak wajib bagi kita untuk menjawabnya.

  • Apabila kita yakin bahawa si pemberi salam itu adalah bukan Islam. Maka tidak wajib bagi kita untuk menjawabnya. Jika kita ingin menjawabnya, maka cukuplah sekadar menjawab “ ‘Alaikum”..
  • Salam yang diberi di dalam solat. Salam yang diberi di dalam solat adalah bukan ditujukan untuk kita. Jadi tidak wajib bagi kita untuk menjawabnya. Adakah ada dalam kalangan pembaca sekalian yang pernah menjawabnya.? Seperti orang sedang solat di sebelah kita memberi salam, kita pula menjawabnya. Maka, habislah solat kita. Waktu kita solat adalah waktu kita berbicara dengan Allah s.w.t. dengan memuji ke-Agungan-Nya. 
  • Salam yang diberi selepas ucapan yang disampaikan. Sering kali kita mendengar ucapan yang disampaikan, mukaddimah yang panjang, barulah disusuli dengan kalimah “Assalamualaikum”. Maka, salam ini tidak wajib kita menjawabnya dan tidak berdosa jika kita tidak menjawabnya. Nabi Muhammad s.a.w. pernah mengatakan, “Dahului salam sebelum ucapan”.
  • Apabila ucapan salam dipersendakan ataupun dipermainkan. Sebagai contoh, apabila seorang lelaki memberi salam kepada seorang perempuan, “Assalamualaikum.. haa, tak jawab berdosa..”. Maka tidak wajib bagi perempuan tersebut untuk menjawabnya. Jika menjawabnya, ia seperti benang telah memasuki lubang jarum. Ia seperti si perempuan memberi tindak balas kepada panggilan si lelaki. Maka, berhati-hatilah. 

Apa yang saya dapat simpulkan, ada salam yang wajib kita menjawabnya dan ada juga salam yang tidak wajib bagi kita untuk menjawabnya. Renung-renungkan dan selamat beramal.
Wallahualam.

Friday, 3 August 2012

KAEDAH MENJAWAB SALAM.


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Setiap salam yang diucapkan, ada caranya yang perlu kita ikut untuk menjawabnya. 

Jika pemberi salam mengatakan “Assalamualaikum..” , maka kita disunatkan menjawab lebih dari itu. Iaitu “Waalaikumussalam warahmatullah..”.

Jika pemberi salam mengatakan “Assalamualaikum warahmatullah..” , maka kita disunatkan untuk menjawabnya dengan “Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.”. 

Di dalam ungkapan “Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh”, mempunyai  5 kalimah.
Salam, ‘Alaik, Rahmat, Allah, Barakah.

Pemberi salam mengucapkan “Assalamualaikum”, mengandungi 2 kalimah. Jadi kita menjawabnya “Waalaikumussalam warahmatullah”, iaitu mengandungi 4 kalimah. 

Pemberi salam mengucapkan “Assalamualaikum warahmatullah” mengandungi 4 kalimah. Jadi kita menjawabnya “Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh” iaitu mengandungi 5 kalimah. 

Jadi, disunatkan untuk kita menjawab salam dengan lebih dari ungkapan yang diberi oleh pemberi salam.
Ada satu kisah disebalik perkara ini.

Pada suatu masa ketika nabi Muhammad s.a.w. berada di dalam masjid, datang seorang sahabat memberi salam, “Assalamualaikum”. Baginda lantas menjawab “Waalaikumussalam warahmatullah”. Datang pula seorang sahabat yang lain memberi salam, “Assalamualaikum warahmatullah”. Lantas baginda menjawab, “Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh”.

Di sini dapat dibuktikan bahawa baginda sering menjawab salam lebih dari pemberi salam.
Renung-renungkan dan selamat beramal.

Wallahu’alam..

Friday, 13 July 2012

BAGAIMANA SOLAT KITA?


Jika ditanya, berapakah album yang telah dihasilkan oleh seorang artis? Tahun berapakah lagu ini dihasilkan? Berapa ramai orang yang pergi ke panggung melihat tayangan video? Semua kita tahu. Tetapi, adakah kita tahu berapakah rukun solat? Rukun iman dan rukun islam ada berapa? Mesti ada yang terkial-kial untuk menjawabnya.

Di sini, saya ingin tekankan rukun solat. Rukun solat ada berapa? Pernah saya bertanya pada sahabat-sahabat saya. Ada yang dengan jujur menjawab, “entahlah”. Ada juga jawapan, “ 13 kot”…. Ada juga yang menjawab, “ 13 ke 14 eak?”

Yang pastinya, jawapannya adalah 13. Sama ada solat sunat mahupun solat fardhu. Rukunnya tetap sama.

  • Berdiri tegak
  • Niat di dalam hati
  • Takbiratul ihram
  • Membaca surah Al-Fatihah
  • Ruku’ beserta tama’ninah (berterusan ruku’ dalam keadaan tenang sekadar membaca satu tasbih)
  • I’tidal beserta tama’ninah (berterusan I’tidal dalam keadaan tenang sekadar membaca satu tasbih. Tidak melebihi tempoh bacaan Al-Fatihah)
  • Sujud dua kali dalam setiap rakaat beserta tama’ninah (berterusan sujud dalam keadaan tenang sekadar membaca satu tasbih)
  • Duduk antara dua sujud beserta tama’ninah (duduk  dalam keadaan tenang sekadar membaca satu tasbih)
  • Duduk tahiyyat akhir
  • Membaca tahiyyat akhir (tasyahhud)
  • Selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.. selepas tasyahhud
  • Salam yang pertama
  • Tertib di antara semua rukun sembahyang tanpa mendahulukan rukun yang sepatutnya dikemudiankan)

Semaklah solat kita. Adakah solat kita telah mengikut rukun solat seperti yang telah ditetapkan? Muhasabah diri dan perbetulkan solat kita, supaya solat kita diterima Allah s.w.t..

wallahualam...

Thursday, 12 July 2012

PILIHAN HATI



Lelaki dan perempuan semestinya mempunyai kehendak ataupun sudah meletakkan cirri-ciri pilihan hati masing-masing. Dalam mencari pasangan yang sesuai, pilihlah dengan tepat dan bernas, yakni seperti yang telah digariskan panduan untuk memilih pasangan di dalam kitab suci Al-Quran. Pilihlah seseorang itu dengan ciri-ciri berikut :

  1. Kerana rupa parasnya
  2. Kerana keturunannya
  3. Kerana hartanya
  4. Kerana agamanya


Meskipun agama yang diletakkan di bawah sekali, itu tidak bermakna agama tidak penting. Kalau kita memilihnya kerana rupa parasnya, kita hanya akan mendapat rupa parasnya sahaja. Jika kita memilihnya kerana keturunannya, kita hanya akan mendapat nama dari keturunannya sahaja. Jika kita memilihnya kerana hartanya, kita hanya akan dapat merasa hartanya sahaja. Tetapi jika kita memilihnya kerana agamanya, kita akan mendapat segala-galanya, yakni dunia dan akhirat. Insya-Allah.

Apa yang ingin saya tegaskan di sini, (saya khususnya, sebagai lelaki), perlu pandai dan bijak dalam memimpin rumah tangga. Lahirnya seorang lelaki adalah untuk menjadi seorang khalifah, pemimpin. Pemimpin keluarga contohnya. Insya-Allah, jika kita boleh memimpin isteri dengan baik, menunaikan kewajipan yang telah di tetapkan, kita akan bersama dengan isteri kita di syurga kelak. Insya-Allah.

Bidadari dunia ataupun bidadari syurga. Di dunia, isteri adalah bidadari  bagi seorang suami. Di akhirat kelak, insya-Allah, isteri akan tetap bersama dengan suaminya di syurga kelak, dengan izin Allah Yang Maha Berkuasa.

Duhai isteri, ikutlah kata-kata suamimu selagi ia tidak melanggar syariat Islam.

Saya ingin meminta maaf jika coretan saya mengguris hati. Jika coretan saya ini ada salah dan silap, jangan rasa segan silu. Tegurlah saya. Saya hanya insan yang lemah dan masih cetek ilmunya.. Wallahualam..

Tuesday, 10 July 2012

SUATU PENCARIAN DAN PENANTIAN


Bismillahirahmanirahim…

Terbaca pernyataan di ruangan sosial, “menunggu seseorang yang boleh mengimami solatku”…
Pada pandangan pertama, anda mesti menjangkakan ini adalah pernyataan dari seorang wanita dan jawapannya adalah betul.  Wahai keturunan Hawa, kamu sememangnya ingin mencari keturunan Adam yang soleh. Sedar atau tidak, keturunan Adam juga ingin mencari keturunan Hawa yang solehah. Bukannya yang ‘soleh asal boleh’ dan juga bukannya yang ‘solehah hah’.

Wanita menginginkan seorang suami yang baik, beriman dan sebagainya. Lelaki juga sama. Ingin memperisterikan seorang wanita yang baik dan juga solehah. Tidak dilupakan, seseorang yang boleh menjaga keturunannya ketika ketiadaannya di rumah dan menjaga nama baiknya sendiri.
Jadi, bagi kita, untuk mendapatkan seseorang yang baik, beriman, bertaqwa dan sebagainya, kita seharusnya perlu menjadi seperti apa yang kita mahukan dari pasangan kita kelak.  Barulah kita boleh mengatakan yang kita mahu seperti itu dan ini. Jika kita ditakdirkan untuk bertemu dengan seseorang yang kita idamkan, Alhamdulillah. Jika tidak, terimalah dia dengan seadanya. Jika kita boleh menerima kekurangan seseorang, tidak mustahil suatu masa, kekurangan yang dia ada akan menjadi suatu kelebihan kepadanya.

Ingatlah wahai teman-teman seperjuanganku, tugas dan tanggunjawab seorang insan yang bergelar suami dan juga isteri amatlah besar. Jadi, matangkanlah pemikiran, matangkanlah hati, perbuatan dan segalanya sebelum menempuh alam perkahwinan. Bersedialah dengan secukupnya sebelum berperang. Maksud saya menempuh suatu alam yang baru, yang kita tidak tahu bagaimana rintangan dan dugaan yang bakal kita hadapi.



Sampai di sini sahaja coretan saya. Ingin bercerita panjang mengenai perkahwinan tidak boleh sebab saya sendiri belum lagi mengalaminya. Sekadar perkongsian dari sumber bacaan dan pemerhatian. Andai ada salah dan silap, harap di maafkan.. Wallahu’alam……

Wednesday, 18 April 2012

AIR

Air adalah sumber yang sangat penting dalam kehidupan seharian. Kita boleh hidup 3 hari tanpa makanan, tetapi kita tidak boleh menahan diri dari tidak minum air selama 1 hari. Badan kita memerlukan air, tumbuhan memerlukan air dan juga semua kehidupan memerlukan air. Bukan sahaja udara mengandungi oksigen, air juga mengandungi oksigen.

Apa yang sering kita lihat, pembaziran air sering kali berlaku, tidak kira tempat mahupun waktu. Hendak mengambil wudhu’ juga ada kalanya kita membazir penggunaan air. Semasa mengambil wudhu’, gunalah air seminima mungkin. Jangan dibuka hos paip terlalu kuat sehingga air terpercik kepada orang disebelah. Kita bertuah kerana negara kita mempunyai bekalan air. Cuba kita bayangkan, negara yang menghadapi krisis kemarau, peperangan, mereka begitu sukar untuk mendapatkan setitik air.

Saya pernah melihat cara-cara mengambil wudhu’ dengan hanya menggunakan sebotol air mineral 50 ml sahaja. Jadi mengapa kita perlu menggunakan air dengan banyak untuk mengambil wudhu’? Islam mengajar kita supaya tidak membazir kerana membazir itu amalan syaitan.

Gunakanlah sumber air kita dengan sewajarnya. Elakkan sebarang pembaziran. Insya-Allah, diharapkan hidup kita diberkati Allah s.w.t..

Tuesday, 17 April 2012

BERTOLAK ANSUR

    Sikap bertolak ansur amat penting dalam kehidupan bermasyarakat. Di dalam apa jua keadaan sekalipun, kita mesti mengamalkan sikap bertolak ansur. Islam juga mengajar kita bertolak ansur dalam semua perkara.

    Walaupun kita di dalam situasi perselisihan faham, meskipun bukan kita yang bersalah, kita kena bertolak ansur, berbincang dengan cara yang elok.  Ini kerana jika api bertemu api, makin marak api tersebut.. tetapi jika api bertemu air, kita sendiri boleh mengagak jawapannya.

    Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Hati yang tenang jangan disangka tiada gelora. Tetapi jika gelora tersebut disalurkan pada jalan yang betul, insya-Allah, hati kita akan lebih aman. Di dalam ajaran Islam, jika kita berasa ingin marah, kecewa, gembira dan lain-lain perasaan, luahkanlah kepada Allah s.w.t.. Allah itu Maha Mendengar. Berdoalah kepada Allah sentiasa kerana Allah amat suka pada hamba-Nya yang selalu merayu kepada-Nya.

    Berdoalah dengan cara yang elok. Seperti kita meminta sesuatu dengan seseorang, kita akan meminta dengan penuh berhemah. Begitu juga semasa kita berdoa. Kita mestilah berdoa dengan hati yang penuh ikhlas, berhati-hati di dalam berdoa. Maksudnya berdoalah dengan teratur. Jangan tergopoh gapah. Jika kita tidak dapat berdoa di dalam bahasa Arab, berdoalah di dalam bahasa apa sekalipun dengan hati yang ikhlas, Allah s.w.t. akan mendengarnya. Kerana Allah s.w.t Maha Mendengar walaupun kita hanya bercakap di dalam hati. 

Wallahualam..

Saturday, 14 April 2012

NIAT ( نية )

    Bismillahirahmanirahim. Mulakan pagimu dengan lafaz yang mulia ini. Mulakan setiap pekerjaan dengan lafaz yang indah ini. Insya-Allah, diharapkan apa yang kita lakukan seharian akan di berkati Allah s.w.t...

    Nukilan pada pagi ini hanyalah berkisar tentang niat. Perkara yang sering diperkatakan. Niat itu penting kerana setiap perkara yang kita lakukan akan dimulakan dengan niat. Insya-Allah, niat yang baik akan diberikan ganjaran yang setimpal oleh Allah s.w.t..

    Apa yang ana ingin perkatakan, kita perlu membetulkan dahulu niat kita sebelum melakukan sebarang pekerjaan. Biarlah pekerjaan yang kita lakukan kita niat kerana Allah s.w.t.. Insya-Alah, moga-moga pekerjaan kita, rezeki kita dan  ilmu kita akan diberkati oleh-Nya. Insya-Allah.

    Di dalam kehidupan seharian, apa sahaja pekerjaan yang kita lakukan mestilah berlandaskan pada beberapa hukum.
  1.   Halal
  2.    Haram
  3.   Sunat
  4.    Makruh
  5.    Harus

    Sebagai seorang pekerja, pelajar mahupun orang biasa, kita kena berfikir sebelum bertindak. Maknanya kita perlu berfikir dengan teliti sebelum membuat sesuatu keputusan ataupun sesuatu perkara berdasarkan hukum-hukum di atas. Insya-Allah, jika kita boleh melakukan perkara tersebut, perkara-perkara negatif boleh di elak di dalam kehidupan kita seharian.



SETIAP AMALAN BERDASARKAN NIAT..
Khalifah Umar bin khatab melaporkan , katanya." saya pernah mendengar Nabi Muhammad berkata.  "Amalan seseorang itu ditentukan oleh niatnya, oleh itu setiap orang mendapat apa yang diniatkan. Oleh sebab itu, orang yang berhijrah kerana Allah dan utusan-Nya, hijrahnya itu adalah kepada Allah  dan Rasul-Nya. Tetapi bagi sesiapa yang berhijrah dengan niat hendak mendapatkan keuntungan di dunia  ataupun bagi mendapatkan isteri, beliau mendapat apa yang diniatkan semasa berhijrah."
(40 hadis IMAM NAWAWI- HADIS YANG PERTAMA)

    Jika kita ingin berfikiran positif, kita mestilah terlebih dahulu menjadi seorang yang positif.  

    Sekian sahaja nukilan di pagi hari. Ini hanyalah sekadar perkongsian yang dapat ana berikan. Hanyalah sekadar pandangan dari diri ana yang lemah ini sendiri. Segala yang baik itu datangnya dari Allah s.w.t., yang buruk itu datangnya dari kelemahan diri ana sendiri. Wallahualam..


hadis sumbangan daripada Ahmad Hafiz..