Followers

Sunday, 25 September 2011

KEUTAMAAN MEMBACA AL-QURAN DAN CARA MEMBACANYA


3. MEMBACA AL-QURAN SEHINGGA KHATAM (TAMAT)
            Bagi seorang mu’min, membaca Al-Quran telah menjadi kecintaannya. Pada waktu membaca Al-Quran, ia sudah merasa seolah-olah jiwanya menghadap ke hadirat Allah Yang Maha Kuasa; menerima amanat dan hikmat suci, memohon limpah kurnia serta rahmat dan pertolongan-Nya. Membaca Al-Quran menjadi wiridnya yang tertentu, baik siang ataupun malam. Dibacanya halaman demi halaman, surah demi surah dan juzuk demi juzuk, akhirnya sampai khatam (tamat). Tidak ada suatu kebahagiaan di dalam hati seseorang mu’min melainkan bila dia dapat membaca Al-Quran sehingga khatam. Apabila sudah khatam, itulah puncak dari segala kebahagiaan hatinya.
            Di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin, Imam Al-Ghazali mencatat beberapa hadis dan riwayat mengenai pembacaan Al-Quran sehingga khatam. Digambarkannya, bagaimana para sahabat, dengan keimanan dan keikhlasan hati, berlumba-lumba membaca Al-Quran sampai khatam, ada yang khatam dalam sehari semalam sahaja, bahkan ada yang khatam dua kali dalam sehari semalam dan seterusnya. Di dalam sebuah hadis yang sahih, Rasulullah menyuruh Abdullah bin Umar, supaya mengkhatamkan Al-Quran sekali dalam seminggu. Begitulah para sahabat seperti Usman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud dan ‘Ubayy bin Ka’ab, telah menjadi wiridnya untuk mengkhatamkan Al-Quran pada tiap-tiap hari Jumaat.
            Adapun mereka yang mengkhatamkan Al-Quran sekali dalam seminggu, Al-Quran itu dibahagi kepada tujuh, menurut pembahagian yang sudah mereka susun. Usman bin ‘Affan r.a. pada malam Jumaat, memulai membacanya dari surah Al-Baqarah sehingga surah Al-Maaidah, malam Sabtu dari surah Al-An’aam sehingga surah Hud, malam Ahad dari surah Yusuf sehinnga surah Maryam, malam Isnin dari surah Thaha sehingga surah Al-Qashash,malam Selasa dari surah Al-‘Ankabuut sampai surah Shaad, malam Rabu dari surah Tanzil sehingga surah Al-Rahman, dan mengkhatamkannya pada malam Khamis. Tetapi Ibnu Mas’ud berlainan cara pembahagiannya, iaitu; hari yang pertama 3 surah, hari kedua 5 surah, hari ketiga 7 surah, hari keempat 9 surah, hari kelima 11 surah, hari keenam 13 surah dan hari ketujuh adalah surah yang selebihnya sehingga khatam (tamat).
            Di samping itu, ada juga di antara para sahabat yang membaca Al-Quran sampai khatam dalam masa sebulan, untuk memperdalam penyelidikannya mengenai maksud yang terkandung di dalamnya.

1 comment:

  1. Alangkah indah kalau kita dapat melakukan sebagaimana yg ditunjukkan...

    ReplyDelete