Followers

Friday, 23 September 2011

KEUTAMAAN MEMBACA AL-QURAN DAN CARA MEMBACANYA


2. MEMPERDENGARKAN BACAAN AL-QURAN
            Di dalam ajaran Islam, bukan sahaja membaca Al-Quran yang menjadi ibadat dan amal yang mendapat pahala dan rahmat, tetapi memperdengarkan bacaan Al-Quran pun sama. Sebahagian ulama mengatakan, bahawa memperdengarkan bacaan Al-Quran pahalanya sama dengan orang yang membacanya.
            Tentang pahala orang yang memperdengarkan bacaan Al-Quran dengan jelas dalam surah (7) Al-A’raaf ayat 204 yang bermaksud: “Dan apabila dibacakan Al-Quran, maka dengarkanlah (baik-baik) dan perhatikanlah dengan tenang, agar kamu mendapat rahmat.”
            Memperdengarkan bacaan Al-Quran dengan baik, dapat menghiburkan perasaan sedih, menenangkan jiwa yang gelisah dan melembutkan hati yang keras, serta mendatangkan petunjuk. Itulah yang dimaksudkan dengan rahmat Allah, yang diberikan kepada orang yang memperdengarkan bacaan Al-Quran dengan baik. Sebegitu besar mu’jizat Al-Quran sebagai wahyu Ilahi, yang tidak bosan-bosan orang membaca dan memperdengarkannya. Malahan semakin kerap orang membaca dan memperdengarkannya, semakin terpikat hatinya kepada Al-Quran; bila Al-Quran dibaca dengan lidah yang fasih, dengan suara yang baik dan merdu akan lebih mempengaruhi jiwa orang yang mendengarnya dan bertambah imannya. Bagaimana keadaan orang mu’min tatkala memperdengarkan bacaan al-Quran itu, digambarkan oleh firman Allah dalam surah (8) Al-Anfaal ayat 2 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, hanyalah mereka yang apabila disebut (nama) Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka kerananya dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.”
            Diriwayatkan bahawa pada suatu malam. Nabi Muhammad s.a.w. mendengar Abu Musa Al-Asy’ari membaca Al-Quran sampai lewat malam. Apabila baginda sampai dirumah, baginda ditanya oleh isteri baginda Aisyah r.a., apa sebabnya baginda pulang sehingga lewat malam. Rasulullah menjawab, bahawa beliau terpikat oleh kemerduan suara Abu Musa Al-Asy’ari membaca Al-Quran, seperti merdunya suara Nabi Daud a.s..
            Di dalam riwayat, terlalu banyak diceritakan, betapa pengaruh bacaan Al-Quran pada masa Rasulullah terhadap hati orang-orang kafir yang setelah mendengar bacaan Al-Quran itu. Tidak ada sedikit hati yang pada mulanya keras dan marah kepada Nabi Muhammad s.a.w. serta pengikut-pengikutnya, berbalik menjadi lembut dan mahu mengikuti ajaran Islam.
            Rasulullah sendiri sangat gemar mendengar bacaan Al-Quran dari orang lain. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari yang berkata, bahawa Abdullah Ibnu Mas’ud menceritakan sebagai berikut: Rasulullah berkata padaku: “Hai Ibnu Mas’ud, bacakanlah Al-Quran untukku!”. Lalu aku menjawab: “Apakah aku pula yang membacakan Al-Quran untukmu, ya Rasulullah, padahal Al-Quran itu diturunkan Tuhan kepadamu?”. Rasulullah menjawab: “Aku senang mendengar bacaan Al-Quran itu dari orang lain.”
            Kemudian Ibnu Mas’ud membacakan beberapa ayat dari surah An-Nisaa’. Maka tatkala bacaan Ibnu Mas’ud itu sampai kepada ayat 41 yang bermaksud: “Maka bagaimanakah (halnya orang kafir nanti), apabila Kami mendatangkan seorang saksi (rasul dan nabi) dari tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (umatmu)”;
Kerana ayat itu sangat mengharukan hati Rasulullah, lalu beliau berkata: “Cukuplah sekian saja ya Ibnu Mas’ud!”. Ibnu Mas’ud melihat Rasulullah menitiskan air matanya serta menundukkan kepalanya.

1 comment:

  1. kena amalkan bacaan al-Quran setiap hari.. ^^


    http://bulatmata.blogspot.com/

    ReplyDelete