Followers

Sunday, 25 September 2011

KEUTAMAAN MEMBACA AL-QURAN DAN CARA MEMBACANYA


3. MEMBACA AL-QURAN SEHINGGA KHATAM (TAMAT)
            Bagi seorang mu’min, membaca Al-Quran telah menjadi kecintaannya. Pada waktu membaca Al-Quran, ia sudah merasa seolah-olah jiwanya menghadap ke hadirat Allah Yang Maha Kuasa; menerima amanat dan hikmat suci, memohon limpah kurnia serta rahmat dan pertolongan-Nya. Membaca Al-Quran menjadi wiridnya yang tertentu, baik siang ataupun malam. Dibacanya halaman demi halaman, surah demi surah dan juzuk demi juzuk, akhirnya sampai khatam (tamat). Tidak ada suatu kebahagiaan di dalam hati seseorang mu’min melainkan bila dia dapat membaca Al-Quran sehingga khatam. Apabila sudah khatam, itulah puncak dari segala kebahagiaan hatinya.
            Di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin, Imam Al-Ghazali mencatat beberapa hadis dan riwayat mengenai pembacaan Al-Quran sehingga khatam. Digambarkannya, bagaimana para sahabat, dengan keimanan dan keikhlasan hati, berlumba-lumba membaca Al-Quran sampai khatam, ada yang khatam dalam sehari semalam sahaja, bahkan ada yang khatam dua kali dalam sehari semalam dan seterusnya. Di dalam sebuah hadis yang sahih, Rasulullah menyuruh Abdullah bin Umar, supaya mengkhatamkan Al-Quran sekali dalam seminggu. Begitulah para sahabat seperti Usman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud dan ‘Ubayy bin Ka’ab, telah menjadi wiridnya untuk mengkhatamkan Al-Quran pada tiap-tiap hari Jumaat.
            Adapun mereka yang mengkhatamkan Al-Quran sekali dalam seminggu, Al-Quran itu dibahagi kepada tujuh, menurut pembahagian yang sudah mereka susun. Usman bin ‘Affan r.a. pada malam Jumaat, memulai membacanya dari surah Al-Baqarah sehingga surah Al-Maaidah, malam Sabtu dari surah Al-An’aam sehingga surah Hud, malam Ahad dari surah Yusuf sehinnga surah Maryam, malam Isnin dari surah Thaha sehingga surah Al-Qashash,malam Selasa dari surah Al-‘Ankabuut sampai surah Shaad, malam Rabu dari surah Tanzil sehingga surah Al-Rahman, dan mengkhatamkannya pada malam Khamis. Tetapi Ibnu Mas’ud berlainan cara pembahagiannya, iaitu; hari yang pertama 3 surah, hari kedua 5 surah, hari ketiga 7 surah, hari keempat 9 surah, hari kelima 11 surah, hari keenam 13 surah dan hari ketujuh adalah surah yang selebihnya sehingga khatam (tamat).
            Di samping itu, ada juga di antara para sahabat yang membaca Al-Quran sampai khatam dalam masa sebulan, untuk memperdalam penyelidikannya mengenai maksud yang terkandung di dalamnya.

Friday, 23 September 2011

KEUTAMAAN MEMBACA AL-QURAN DAN CARA MEMBACANYA


2. MEMPERDENGARKAN BACAAN AL-QURAN
            Di dalam ajaran Islam, bukan sahaja membaca Al-Quran yang menjadi ibadat dan amal yang mendapat pahala dan rahmat, tetapi memperdengarkan bacaan Al-Quran pun sama. Sebahagian ulama mengatakan, bahawa memperdengarkan bacaan Al-Quran pahalanya sama dengan orang yang membacanya.
            Tentang pahala orang yang memperdengarkan bacaan Al-Quran dengan jelas dalam surah (7) Al-A’raaf ayat 204 yang bermaksud: “Dan apabila dibacakan Al-Quran, maka dengarkanlah (baik-baik) dan perhatikanlah dengan tenang, agar kamu mendapat rahmat.”
            Memperdengarkan bacaan Al-Quran dengan baik, dapat menghiburkan perasaan sedih, menenangkan jiwa yang gelisah dan melembutkan hati yang keras, serta mendatangkan petunjuk. Itulah yang dimaksudkan dengan rahmat Allah, yang diberikan kepada orang yang memperdengarkan bacaan Al-Quran dengan baik. Sebegitu besar mu’jizat Al-Quran sebagai wahyu Ilahi, yang tidak bosan-bosan orang membaca dan memperdengarkannya. Malahan semakin kerap orang membaca dan memperdengarkannya, semakin terpikat hatinya kepada Al-Quran; bila Al-Quran dibaca dengan lidah yang fasih, dengan suara yang baik dan merdu akan lebih mempengaruhi jiwa orang yang mendengarnya dan bertambah imannya. Bagaimana keadaan orang mu’min tatkala memperdengarkan bacaan al-Quran itu, digambarkan oleh firman Allah dalam surah (8) Al-Anfaal ayat 2 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, hanyalah mereka yang apabila disebut (nama) Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka kerananya dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.”
            Diriwayatkan bahawa pada suatu malam. Nabi Muhammad s.a.w. mendengar Abu Musa Al-Asy’ari membaca Al-Quran sampai lewat malam. Apabila baginda sampai dirumah, baginda ditanya oleh isteri baginda Aisyah r.a., apa sebabnya baginda pulang sehingga lewat malam. Rasulullah menjawab, bahawa beliau terpikat oleh kemerduan suara Abu Musa Al-Asy’ari membaca Al-Quran, seperti merdunya suara Nabi Daud a.s..
            Di dalam riwayat, terlalu banyak diceritakan, betapa pengaruh bacaan Al-Quran pada masa Rasulullah terhadap hati orang-orang kafir yang setelah mendengar bacaan Al-Quran itu. Tidak ada sedikit hati yang pada mulanya keras dan marah kepada Nabi Muhammad s.a.w. serta pengikut-pengikutnya, berbalik menjadi lembut dan mahu mengikuti ajaran Islam.
            Rasulullah sendiri sangat gemar mendengar bacaan Al-Quran dari orang lain. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari yang berkata, bahawa Abdullah Ibnu Mas’ud menceritakan sebagai berikut: Rasulullah berkata padaku: “Hai Ibnu Mas’ud, bacakanlah Al-Quran untukku!”. Lalu aku menjawab: “Apakah aku pula yang membacakan Al-Quran untukmu, ya Rasulullah, padahal Al-Quran itu diturunkan Tuhan kepadamu?”. Rasulullah menjawab: “Aku senang mendengar bacaan Al-Quran itu dari orang lain.”
            Kemudian Ibnu Mas’ud membacakan beberapa ayat dari surah An-Nisaa’. Maka tatkala bacaan Ibnu Mas’ud itu sampai kepada ayat 41 yang bermaksud: “Maka bagaimanakah (halnya orang kafir nanti), apabila Kami mendatangkan seorang saksi (rasul dan nabi) dari tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (umatmu)”;
Kerana ayat itu sangat mengharukan hati Rasulullah, lalu beliau berkata: “Cukuplah sekian saja ya Ibnu Mas’ud!”. Ibnu Mas’ud melihat Rasulullah menitiskan air matanya serta menundukkan kepalanya.

Monday, 19 September 2011

KEUTAMAAN MEMBACA AL-QURAN DAN CARA MEMBACANYA


1. MEMBACA AL-QURAN

     
       Al-Quran adalah kitab suci yang merupakan sumber utama dan pertama ajaran Islam menjadi petunjuk kehidupan umat manusia diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w., sebagai salah satu rahmat yang tidak ada sempadannya di  alam semesta. Di dalamnya terkumpul wahyu Ilahi yang menjadi petunjuk, pedoman dan pelajaran bagi siapa yang mempercayai serta mengamalkannya. Al-Quran adalah kitab suci yang terakhir diturunkan oleh Allah, yang isinya merangkumi segala-galanya tentang  syari’at yang terdapat dalam kitab-kitab suci yang sebelumnya. Kerana itu, setiap orang yang mempercayai Al-Quran, akan bertambah rasa cinta kepadanya, cinta untuk membacanya, untuk mempelajari dan memahaminya serta untuk mengamalkan dan mengajarkannya sehingga keseluruhan rahmatnya dirasai dan dikecapi oleh penghuni alam semesta.
  
          Setiap Mu’min yakin , bahawa dengan hanya membaca Al-Quran sahaja, sudah termasuk amal yang sangat mulia dan akan mendapat pahala yang berlipat-ganda, sebab yang dibacanya itu adalah kitab suci Al-Quran. Al-Quran adalah sebaik-baik bacaan bagi orang Mu’min,diwaktu senang mahupun diwaktu susah, diwaktu gembira mahupun diwaktu sedih. Malahan membaca Al-Quran itu bukan sahaja menjadi amal dan ibadah, tetapi juga menjadi ubat dan penawar bagi orang yang gelisah jiwanya.
     
       Pada suatu hari datanglah seseorang kepada sahabat Rasulullah s.a.w. yang bernama Ibnu Mas’ud r.a. meminta nasihat, katanya: “Wahai Ibnu Mas’ud, berilah nasihat yang dapat kujadikan ubat bagi jiwaku yang sedang gelisah. Dalam beberapa hari ini aku merasa tidak tenteram, jiwaku gelisah dan fikiranku kusut; makan tidak kenyang, tidurpun tidak lena.”
      
      Maka Ibnu Mas’ud menasihatinya, katanya: “Kalau penyakit itu yang menimpamu maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat, iaitu ke tempat orang membaca al-Quran; engkau baca Al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya; atau engkau pergi ke majlis ilmu yang mengingatkan hati kepada Allah; atau engkau cari waktu dan tempat yang sunyi, di sana engkau bersujud menyembah Allah, umpama di waktu tengah malam buta, di saat orang sedang tidur nyenyak, engkau bangun mengerjakan solat malam, meminta dan memohon kepada Allah ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran dan kemurnian hati. Seandainya jiwamu masih belum terubat dengan cara ini, engkau minta kepada Allah, agar diberi-Nya hati yang lain, sebab hati yang ada padamu itu, bukan lagi hatimu.”
  
          Setelah orang iu kembali ke rumahnya, diamalkannya segala nasihat Ibnu Mas’ud r.a. itu. Dia pergi mengambil wudhu kemudian diambilnya Al-Quran, terus dia membaca dengan hati yang khusyu’. Selesai membaca Al-Quran, berubahlah kembali jiwanya, menjadi jiwa yang tenang dan tenteram, fikirannya jernih, kegelisahannya juga telah hilang.

            Tentang keutamaan dan kelebihan membaca Al-Quran, Rasulullah menyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkanoleh Bukhari dan Muslim, yang bermaksud: “Ada dua golongan manusia yang sungguh-sungguh orang dengki kepadanya, iaitu orang yang diberi oleh Allah kitab suci Al-Quran ini, dibacanya siang dan malam; dan orang yang dianugerahi Allah kekayaan harta, siang dan malam kekayaan ini digunakannya untuk segala sesuatu yang diredhai Allah.”
  
          Di dalam hadis yang lain, yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah menyatakan tentang kelebihan martabat dan keutamaan orang membaca Al-Quran, yang bermaksud: “Perumpamaan orang Mu’min yang membaca al-Quran, adalah seperti bunga utrujjah, baunya harum dan rasanya lazat; orang Mu’min yang tidak suka membaca Al-Quran, adalah seperti buah kurma, baunya tidak begitu harum, tapi manis rasanya; orang munafiq yang membaca Al-Quran ibarat sekuntum bunga, berbau harum, tetapi pahit rasanya; dan orang munafiq yang tidak membaca Al-Quran, tidak ubah seperti buah hanzalah, tidak berbau dan rasanya pahit sekali.”

            Dalam sebuah hadis, Rasulullah juga menerangkan bagaimana besarnya rahmat Allah terhadap orang-orang yang membaca Al-Quran di rumah-rumah ibadat (masjid, surau, musolla dan lain-lain). Hal ini dikuatkan oleh sebuah hadis yang mashurlagi sahih yang bermaksud: “Kepada kaum yang suka berjemaah di rumah-rumah ibadat, membaca Al-Quran secara bergilir-gilir dan mengajarkannya terhadap sesamanya, akan turunlah kepadanya ketenangan dan ketenteraman, akan terlimpah kepadanya rahmat dan mereka akan dijaga oleh malaikat, Allah juga akan selalu mengingati mereka” (diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah).
            Dengan hadis di atas nyatalah bahawa membaca Al-Quran, baik mengetahui ertinya ataupun tidak, adalah termasuk ibadah, amal soleh dan memberi rahmat serta manfaat bagi yang membacanya, memberi cahaya ke dalam hati yang membacanya sehingga terang benderang, juga memberi cahaya kepada keluaga rumah tangga tempat Al-Quran itu di baca. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Baihaqi dari Anas r.a., Rasulullah bersabda: “Hendaklah kamu beri nur (cahaya) rumah tanggamu dengan solat dan dengan membaca Al-Quran!”

           Di dalam hadis yang lain lagi, rasulullah menyatakan tentang member cahaya rumah tangga dengan membaca Al-Quran itu. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Daru Quthni dari Anas r.a., Rasulullah memerintahkan: “Perbanyakkanlah membaca Al-Quran dirumahmu, sesungguhnya di dalam rumah yang tidak ada orang membaca Al-Quran, akan sedikit sekali dijumpai kebaikan di rumah itu, dan akan banyak sekali kejahatan, serta penghuninya selalu merasa sempit dan susah.”
   
         Mengenai pahala membaca Al-Quran, Ali bin Abi Thalib mengatakan bahawa, tiap-tiap orang yang membaca Al-Quran dalam solat, akan mendapat pahala lima puluh kebajikan untuk tiap-tiap huruf yang diucapkannya, membaca Al-Quran di luar solat dengan berwudhu, pahalanya dua puluh lima kali kebajikan bagi setiap huruf yang diucapkannya dan membaca Al-quran di luar sembahyang dengan tidak berwudhu, pahalanya sepuluh kebajikan bagi setiap huruf yang diucapkannya.